Sebelum aku mula, aku nak bagitahu yang ni hanyalah pendapat berdasarkan hasil carian aku di internet. Aku bukan profesional dalam bidang ni. Aku hanyalah blogger yang suka membebel.

Aku rasa ramai orang pernah dengar pasal ‘Dead Internet Theory’.
Apa maksudnya ‘dead internet theory’?
Berdasarkan artikel dari Harvard University, ‘Dead Internet Theory’ atau ‘Teori Internet Mati’ adalah teori yang mencadangkan bahawa sebahagian besar internet moden, terutamanya media sosial, semakin dipenuhi aktiviti bukan manusia, kandungan yang dijana AI dan agenda korporat. Korang boleh baca dokumen penuh di website tersebut.
Aku sebenarnya dah habis tulis catatan ni, tapi bila aku baca balik aku bunyi macam tengah tulis report atau thesis daripada kasual. Jadi aku copy paste (sayang nak buang lagi), delete dan tulis balik. Aku nak blog ni santai je. Macam tengah borak dengan kawan kat mamak sambil makan roti canai bom planta banjir (like, seriously… kenapa roti bom aku penuh planta dalam dia?).
So, semua ni bermula bila aku tengah scroll Substack (by the way aku ada Substack kalau korang nak follow, wink wink…). Banyak post mengenai detoks digital, delete media sosial dan kembali ke zaman lalu, yada yada…
Kemudian aku terfikirkan sesuatu.
Adakah internet dah mati?
Ada banyak artikel dan Reddit post yang korang boleh baca pasal teori internet mati ni. Aku sematkan dokumen kajian ni kalau korang berminat nak baca:
Untuk aku rumuskan keseluruhan hasil kajian aku, internet (mungkin) dah mati, dan kita pun terikut dengannya. Ni penerangan aku pasal benda ni.
Kita berbalik pada zaman dulu. Dalam pertengahan 1995 dan awal 2000. Masa ni internet berubah daripada hanya forum dan komuniti atas talian kepada benda yang lebih besar, seperti wujudnya blog dan website. Masa ni ada yang berpendapat teori internet mati dah pun berlegar di alam maya, tapi ianya sesuatu yang masih asing. Orang masih dapat membezakan realiti dan alam maya. Bila mereka tutup komputer, mereka masih lagi mampu menjalankan hidup seperti biasa selebih hari tu.
Aku lahir awal era Y2K, jadi aku lambat sikit memasuki alam maya. Bila aku ikut mak pergi pejabat, aku hanya akan main game bola.

Lepas tu, salah seorang rakan sekerja mak aku memperkenalkan internet. Dia menunjukkan kepada aku www.barbie.com. Ya, dulu orang kena tulis www untuk cari website. www bermaksud World Wide Web.
Aku pun apa lagi, sakanlah main game dalam tu. Macam-macam game ada woo. Malah aku mula kenal lagu Ops… I Did It Again oleh Britney Spears daripada website tu, tapi videonya Barbie yang nyanyi. Pergh, syok woo main.
Kemudian, aku mendapat akal. Apa kata kalau aku cari game lain dengan menaip ‘games for girls’? Masa tu bahasa Inggeris aku level rendah. Dalam exam pun aku macam harey tak faham satu habuk pun. Main bedal je. Tapi perkataan ‘games for girls’ tu aku tahulah.
Masa tu lah aku jumpa pelbagai jenis flash games. Game Powerpuff Girls, Murphy’s Law (by the way memang wujud ya hukum ni, secara dasarnya “anything that can go wrong will go wrong.”), Wreck your boss dan game lain yang aku taknak mention sebab normalisekan adultery (nasib baik aku bodoh tak faham apa).
Kita skip ke 2013 sebab sepanjang tahun dari aku tadika sampai 2013 aku cuma tahu barbie.com dan Monster High website je. Masa ni kawan aku memperkenalkan Blogger. Aku ni pun tertariklah nak tengok, kan. Maka di pejabat mak aku, aku pun buka Blogger.com dan mencipta blog pertama aku bernama ‘Kanak-Kanak Ribena’. Aku tak tahu blog ni apa, jadi apa yang aku buat adalah aku jadikan ia digital garden aku. Zaman ni istilah digital garden tak wujud, tapi aku dah pun buat digital garden sendiri, muehehehehe… (Aku takde gambar nak tunjuk sebab Wayback Machine tak jumpa blog tu)
Kenapa aku mention kisah-kisah ni? Sebab ianya berkait rapat dengan topik kita.
Zaman dulu, walaupun ada akses pada internet, aku masih boleh pecahkan antara alam digital dan realiti. Aku blogging untuk kepuasan diri sendiri, dan aku takkan terfikirkan tentang blog aku di alam nyata kecuali jika ada maklumat yang aku nak simpan secara digital. Masa ni juga aku tak ada telefon pintar seperti kawan-kawan aku. Aku hanya ada telefon Nokia butang, jadi aku hanya dapat internet bila ikut mak pergi pejabat je.
Tapi zaman sekarang dah lain. Aku rasalah internet ni membentuk diri aku yang sekarang. Aku mula jadi introvert di alam nyata, namun kuat berceloteh dan berkongsi cerita dan pendapat di alam maya. Aku juga mula sukakan sesuatu seperti Y2K vibes, 00’s era dan konsum media mengenai aktiviti berjurnal. Kalau aku tak jumpa komuniti jurnal, aku takkan berjurnal sekarang sebab kali terakhir aku berjurnal adalah pada tahun 2017. Kemudian aku langsung tak tulis jurnal. Aku mula semula pada tahun 2024 dengan buku nota warna merah aku yang kini dah discontinued.

Perubahan seperti ini bukannya tak bagus. Yang menjadi tak bagus adalah bila hasil janaan AI mula berleluasa.
Sebelum ni kita diperkenalkan dengan video menegak drama pendek yang dilakonkan oleh orang sebenar. Ianya salah satu daripada slop content yang mula wujud. Tidak lama kemudian, janaan AI muncul dan menguasai bidang tersebut.
Bukan itu je. Video ilmiah yang selalunya mengambil masa yang lama untuk diedit kini mudah disiapkan dengan beberapa prompt sahaja. Contohnya Gemini Notebook. Kita upload je bahan bacaan, lepas tu janakan video, nota, podcast, dan peta minda di hujung jari. Senang betul kerja orang sekarang ni!
Lama-kelamaan, AI slop menguasai internet. Malah blogger dan penulis Substack juga menggunakan AI untuk membuat content. YouTube pun penuh dengan AI slop yang entah betul ke tidak maklumat yang diberikan (gunakan text-to-speech adalah berbeza). Bila korang tulis sesuatu dekat Google pun, Gemini dah rumuskan melalui kesemua artikel dan laman web yang wujud dalam 1 hingga 3 perenggan.

Maka, inilah maksud aku bila aku kata internet nak mati dan kita pun terikut sama. Satu-satunya cara adalah untuk menghidupkan perkara yang bermanfaat.
Mula menulis Substack dan ta kperlu bagitahu kawan dan keluarga tentangnya, cipta blog percuma menggunakan Blogger dan mula menulis perkara yang bermanfaat, mula berkongsi pengalaman peribadi buat pedoman orang lain yang melihat siaran di Threads, apa-apa je. Jadi content creator bukan bermaksud buat duit je. Kadangkala kita kena kembali semula pada hari di mana bilangan tontonan, sukaan dan kongsian tidak menetapkan nilai kandungan kita. Be yourself once in a while. Don’t let the algorithm shape you into a whole new persona. As long as it is beneficial to others, why not?
Okey siap esei aku. Aku nak tidur.



